Sabtu, 6 Januari 2024

Kritikan Teater " Mat Derih Kola Perlih


Pengenalan



(Gambar: Penulis karya)


Namron atau nama sebenarnya Shahili Abdan telah dilahirkan pada tanggal 21 November 1969 di Kangar, Perlis, Malaysia. Namron juga turut dikenali sebagai Tok Ayah. Beliau merupakan seorang pengarah, penulis skrip dan pelakon Malaysia yang bergiat aktif dalam bidang teater, filem dan televisyen. Beliau bersama dengan isterinya iaitu Junainah Lojong telah berkahwin pada tahun 2004 dan dikurniakan sebanyak tiga orang anak. Pada bulan Jun di tahun 2018, Namron, isterinya, June Lojong, syamsul Yusof, Bront Palarae, Shaheizy Sam, Chew Kin Wah, Zahiril Adzim, Maya Karin dan Puteri Balqis telah disenaraikan sebagai salah orang dari 10 pelakon popular yang Berjaya meraih pengiktirafan di peringkat global oleh Harian Metro Menerusi filem One Two Jaga pada tahun 2018 arahan beliau, Namron meraih kemenangan besar di Festival Filem Malaysia ke-30 dan Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019 apabila beliau telah memenangi trofi Pengarah Terbaik. Menurut beliau, pengiktirafan karya berkisar gejala rasuah dalam kalangan anggota polis melalui filem arahannya itu membuatkan beliau lebih berani menghasilkan karya yang ada suara. Beliau ialah seseorang yang menitik beratkan kedaulatan bahasa kebangsaan dan pernah bertutur bahasa kebangsaan ketika menghadiri forum teater di Jepun pada tahun 2004 hingga ke 2008. Ketika menghadiri forum tersebut, beliau membicarakan tentang filem arahannya One, Two, Jaga di New York Asian Film Festival (NYAFF), beliau bertutur sepenuhnya dalam Bahasa Melayu. Pada awalnya, beliau melibatkan diri dalam pementasan teater pada 1989 dengan menyertai kumpulan teater AKSI di Kangar, Perlis. Semasa bersama kumpulan teater AKSI beliau terlibat dengan beberapa pementasan kecil sebagai pelakon. Hubungan beliau dengan group teater AKSI hanya selama dua tahun, perselisihan pandangan tentang pementasan teater telah mendorong beliau menubuhkan kumpulan teaternya sendiri pada tahun 1991 dengan menamakannya SEBATU. Ketika beliau bersama kumpulan teater SEBATU, dua buah teater telah dipentaskan di Kangar, Perlis iaitu Jiwa(1992) dan Sel Terakhir(1994). Semasa pementasan teater Jiwa, Namron menjadi pengarah dan penulis skrip serta turut sama berlakon sementara di dalam pementasan Sel Terakhir, beliau hanya mengarah dan menulis skripnya.

Sinopsis


(Gambar: Poster teater Mat Derih Kola Perlih)


    Pementasan teater ini merupakan finalis keempat dalam Festivel Teater Malaysia 2018 yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Malaysia Tourism Centre (MaTiC). Pementasan ini berlangsung di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MaTiC, Jalan Ampang, pada 18 oktober 2018 jam 8.30 malam. Kemudian ditaja oleh Kerajaan Negeri Perlis Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negeri Perlis. Teater ini merupakan sebuah idea dan skrip asal monodrama karya Namron dan dekonstruksi skrip oleh Siti Jasmina Ibrahim . Teater ini juga telah diarahkan oleh Syafiq Syazim. Teater ini telah menjadi johan dan dinobatkan sebagai naskhah Teater Terbaik serta memenangi kategori Pengarah Terbaik, Sinografi Terbaik, Pelakon Harapan Wanita Terbaik dan Anugerah Khas Juri.

    Teater Mat Derih Kola Perlih ini mengisahkan tentang seorang budak lelaki bernama Mat Derih yang berasal dari Kuala Perlis. Ayahnya telah meninggalkan Mat Derih dan ibunya semasa dia masih kecil. Disebabkan kemiskinan, dia hanya mampu menamatkan pengajian setakat sekolah rendah dan kemudian menjadi nelayan bagi meneruskan kehidupan. Dalam satu insiden pergaduhan yang dimenangi oleh Mat Derih, dia telah dijulang menjadi ketua samseng di Kuala Perlis. Maka, bermulalah kehidupannya sebagai ketua samseng yang mengutip wang perlindungan dari peraih-peraih dan tokey-tokey ikan bersama sahabat baiknya Solleh. Satu insiden di rumah pelacuran yang ingin diserang oleh kumpulan Mat Derih telah menemukannya kembali dengan ayah yang tak pernah dikenalinya bersama seorang perempuan.


Latar Belakang produksi Teater Topeng



(Gambar: Logo Persatuan Teater Opera Mimpi Negeri Perlis TOPENG)



    Pementasan teater ini dijayakan oleh sebuah produksi kecil daripada Persatuan Teater Opera Mimpi Negeri Perlis atau dengan singkatannya dikenali sebagai TOPENG merupakan satu badan atau organisasi yang berorientasikan kepada aktiviti seni dan budaya khususnya menjurus kepada seni persembahan dan seni lakon.Persatuan ini ditubuhkan atas dasar semangat kecintaan kepada dunia seni terutamanya seni lakon atau teater. Ilham penubuhan persatuan tercetus selepas menjuarai Festival Teater Malaysia Peringkat Negeri Perlis pada tahun 2015. Bagi meneruskan silaturrahim antara pelakon dan tenaga produksi serta menyambung perjuangan dalam bidang lakon teater, maka pada 3 Februari 2016, TOPENG telah Berjaya didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di Negeri Perlis

    Barisan pelakon bagi pementasan ini ialah pelakon utama dilakonkan oleh Rahmat Saidin sebagai Mat Derih, Hairi Safwan sebagai Solleh dan Nesa Idrus sebagai Wati. Kemudian ramai lagi turut menjadi ensemble iaitu Nik Aqil, Khai Sabri, ArshadTMZ, Saiful Wazien, Farhaziq, Afiyahazli, Farisya Syamimi dan iejafy. Rentetan itu, antara senarai tenaga produksi yang terlibat untuk persembahan teater ini adalah pertama Syafiq Syazmi sebagi Pengarah, penolong pengarah disandang oleh Nawfal Zamri, Penasihat Produksi iaitu Yaakob b Abd Aziz dan pengurus pentas oleh Mimi Ishak serta dibantu juga oleh pembantu pengurus pentas iaitu Batrisya. Kemudian Pereka set diketuai oleh Nawfal Zamri dan ArshardTMZ, Saiful Ridzuan sebagai juru audio, Kyairull Halim sebagai pembantu teknikal, Zakri Omar sebagai Penata cahaya manakala Iejafy dan Farisha syamimi sebagai busana dan tatrias. Kemudian, kru pentas diwakili oleh Zamri Abdullah dan Siti Salwani dan Publisiti dipegang oleh Syahida Syukur.

    kritikan ini berdasarkan kepada beberapa aspek yang penting yang ditekankan dalam aktiviti pementasan khususnya pementasan teater termasuklah kepengarahan, sinografi; busana, pencahayaan, audio-visual, lakonan daripada barisan pelakon dan skrip drama. Kritikan ini merangkumi ulasan, pandangan dan harapan supaya aktiviti teater semakin berkembang dalam generasi kini.


Kepengarahan


(Gambar: Pengarah Pementasan)


    Pengarah bagi pementasan teater ini merangkap pengurus pentas dan persembahan ialah Saudara Syafiq Syazmi. Kepengarahan dalam pementasan teater memerlukan ketelitian yang tinggi supaya aturan dan susunan mengikut perancangan yang telah ditetapkan oleh semua kru yang terlibat. Pengarah bagi pementasan ini menjalankan tugas dengan baik kerana seorang pengarah perlu memahami segala-galanya dari kerja kamera hingga penulisan skrip. Oleh kerana itu, sesetengah pengarah juga penulis atau pelakon. Gaya kerja mereka yang tepat mungkin berbeza-beza, tetapi mereka adalah orang yang harus memegang apa yang mungkin menjadi beberapa visi yang bertentangan bersama-sama dan memastikan teater tersebut menarik minat penonton. Hal ini menunjukkan bahawa pengarah bijak dalam membuat keputusan supaya pementasan ini yang bersifat sederhana ini lebih memfokuskan kepada pengisian dan nilai-nilai yang hendak disampaikan oleh para pelakon berbanding perkara teknikal seperti pencahayaan yang pelbagai. Selain itu, pengarah bagi pementasan ini menerapkan sebuah pementasan yang tidak terlalu berat untuk difahamkan oleh para penonton. Kesimpulannya, pengarah bagi pementasan ini memainkan peranan yang baik sehingga berjaya dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik kerana mengekalkan kehebatan karya dan mengaplikasikan ia kepada sebuah pementasan yang hebat meskipun berskala sederhana.



Sinografi


(Gambar: Proses Sinografi)


    Sinografi adalah Reka Bentuk, rekacipta, rekaan artistik, latarhias, tatahias, tatacahaya, seni rupa, kostum; banyak lagi penamaan dan terminologi muncul dalam arena seni persembahan untuk menerangkan rekaan visual yang dapat dilihat dalam produksi seni persembahan seperti teater, tari, muzikal dan muzik. Sinografi adalah merupakan terminologi yang tepat untuk digunakan sebagai mewakili keseluruhan bentuk seni visual yang dapat dilihat dalam sesebuah produksi ini iaitu rekaan pentas dan kostum, pencahayaan, susun atur ruang lakon, penggunaan ruang untuk aktor termasuklah persekitaran rekabentuk dalaman sesebuah panggung dan apa saja kesan visual yang dapat dilihat di dalam panggung tersebut. Dengan ini, dapat dilihat bahawa teater ini mementingan sinografi sehingga dianggap sama setara dengan teks apabila dialog mencipta seni percakapan dan tingkahlaku pelakon di pentas, sinografi mencipta seni visualnya. Sinografi pada teater ini terlihat mengingatkan bahawa perkataan yang lahir dari sesebuah teks tidak cukup untuk menghuraikan dengan sempurna makna sesebuah persembahan. Oleh itu, teater ini telah mendapat anugerah Sinorgrafi terbaik.


(Gambar: Anugerah Sinografi Terbaik)



Busana

    Busana merupakan perkara yang termasuk dalam aspek sinografi. Hal ini demikian kerana busana mampu menjadikan sesuatu pementasan lebih berkesan kerana busana yang dikenakan oleh setiap pelakon akan membawa kepada pemahaman para penonton terhadap latar belakang pementasan tersebut.



(Gambar: Busana para pelakon)


    Busana yang dikenakan oleh para pelakon dalam pementasan ini mengikut kesesuaian yang terdapat dalam skrip drama tersebut. Hal ini demikian kerana pementasan ini bersifat sedikit tradisional kerana latar dan jalan ceritanya merupakan masyarakat di kampung. Walaubagaimanapun, busana yang digunakan oleh watak Mat Derih dan Solleh kelihatan bersesuaian kerana watak tersebut perlu memberikan gambaran seperti orang kampung kepada penonton agar penonton tidak tersilap dalam mentafsirkan kedua-dua watak itu. Secara keseluruhan busana yang digunakan dalam pementasan adalah bersesuaian.


(Gambar: Busana pelakon)


Lakonan

    Anggota bagi pementasan adalah barisan pelakon yang melakonkan watak mengikut arahan daripada pengarah atau pengurus pentas. Barisan pelakon mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk menyampaikan lakonan mereka dengan baik supaya pementasan tersebut berjaya menarik minat dan perhatian para penonton untuk memahami jalan cerita sehingga ke penutup pementasan. Watak utama iaitu Mat Derih yang dilakonkan oleh saudara Rahmat Saidin memberikan impak besar dan kesan yang mendalam dalam pementasan. Hal ini dikatakan kerana beliau merupakan watak utama yang harus dilakonkan agar penonton dapat memahami mesej yang ingin disampaikan melalui jalan cerita dan dibantu oleh sahabatnya baiknya solleh. Oleh yang demikian, watak Mat Derih berjaya memikul keseluruhan pementasan dengan baik dan cemerlang.




(Gambar: Mat Derih bersama Solleh )


    Selain itu, Mat Derih seorang yang berilmu pengetahuan kerana Mat Derih mengetahui tentang ilmu silat dan mempraktikkannya sebagai satu kelebihan untuk berlawan. Walaubagaimanapun terdapat watak yang perlu diberikan perhatian yang lebih khusus terutamanya pada babak aksi supaya lakonannya mampu memberi impak yang baik. Hal ini demikian kerana watak ini perlulah dilakonkan dengan baik dan mengikut tuntutan skrip. Lakonan daripada semua watak perlulah diperbaiki daripada sudut ekspresi dan gerak tubuh dan penggunaan dialek utara yang kurang mahir digunakan oleh pelakon. Hal ini kerana terdapat beberapa pelakon yang sukar menggunakan dialek tersebut dan mengakibatkan lakonan mereka sedikit kaku dan ianya mendatangkan kerisauan kerana akan memberi kekecewaan pada penonton. Perkara ini akan membawa kepada kesukaran untuk penonton memahami nilai yang hendak mereka bawa dalam pementasan.




(Gambar: babak aksi dalam pementasan teater)



(Gambar: barisan pelakon dan produksi)


Audio

    Pementasan ini menggunakan pendekatan yang mudah dalam meletakkan sesuatu audio atau kesan bunyi dalam persembahan ini. Hal ini demikian kerana pementasan ini tidak mengenakan kesan bunyi yang pelbagai ekoran kekangan kemudahan yang terdapat di atas pentas semasa pementasan berlangsung. Walaubagaimanapun, setiap kesan bunyi berjaya menimbulkan suasana yang dikehendaki. Namun, terdapat kekurangan dari segi dialaoh yang kurang jelas pengurus pentas hendaklah menyediakan microphone khas kepada setiap pelakon supaya para penonton dapat mendengar dialog yang ingin disampaikan dengan lebih jelas. Antara muzik dan audio yang digunakan dalam pementasan teater ini adalah dengan menggunakan pembesar suara untuk memasang lagu latar belakang bagi memeriahkan lagi persembahan. Lagu-lagunya ialah Renjana oleh Noh Salleh ,Oh Oh Oh nyanyian China Dolls dan Deep Thoughts dari Morning Light Music. Secara keseluruhannya, audio dan kesan bunyi bagi pementasan ini dapat dikelaskan sebagai cemerlang.

Pemilihan Skrip

    Pementasan ini merupakan dekonstruksi skrip oleh Siti Jasmina Ibrahim. Justeru itu. produksi telah berjaya memilih skrip yang sesuai untuk dipentaskan mengikut kekuatan tenaga kerja yang diperlukan oleh produksi untuk pementasan ini. Selain itu, penggunaan skrip yang mengandungi gaya bahasa dan laras bahasa yang mudah turut menjadikan pementasan ini semakin menarik dan berjaya. Hal ini demikian kerana, penggunaan laras bahasa yang sesuai dan mudah akan membolehkan para pelakon menghafal dialog dengan mudah. Perkara ini sedikit sebanyak memberikan impak yang positif kepada sesbuah pementasan.

Kesimpulannya, wajarlah bahawa pementasan teater “Mat Derih Kola Perlis ini dinobatkan sebagai johan pada Festival Teater Malaysia 2018 yang dipentaskan di di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MaTiC. Hal ini diperkatakan sedemikian kerana, teater ini memberikan kesan yang besar kepada kesedaran dalam diri setiap penonton. Kesederhanaan dalam aspek teaterikal dan teknikal tidak menghalang produksi untuk berjaya mementaskan ia dengan cemerlang. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa pengajaran yang harus dititik beratkan pada mesej dan pengajaran yang ingin disampaikan bahawa kita hendaklah saling memaafkan kesalahan masing masing supaya tidak tercetusnya dendam dalam diri sehingga dapat menimbulkan kesalahan pembunuhan. Oleh itu, setiap penggiat seni teater perlu memikirkan cara yang lebih kreatif dan inovatif dalam semua aspek termasuklah gaya penceritaan untuk menarik minat penonton agar terus menyokong industri seni teater ini pada masa akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Isu Semasa