FUNGSI SASTERA KEPADA MASYARAKAT
Karya sastera terhasil daripada idea dan fikiran pengarang untuk berkongsi maklumat dan hal-hal yang berkaitan dengan kehidupanya. Selain itu, Karya-karya sastera mengandungi perutusan, amanat serta pengajaran yang dapat memberi kesedaran dan membuka minda masyarakat dalam menjalani kehidupan. pengarang menggunakan sumber daripada persekitaran, pengalaman, pemerhatian dan pembacaannya untuk mengetengahkan sesuatu perkara yang menarik agar dapat memberi manfaat terhadap pembaca. Menurut Arba’ie Sujud (2018) sastera adalah kehidupan yang menceritakan tentang manusia. Hal ini, dapat kita perhatikan dalam karya-karya milik sasterawan atau dari mana-mana makalah yang diterbitkan oleh pengarang yang hebat dan terkemuka. Unsur-unsur intelek yang terdapat dalam kesusasteraan bukan sahaja menjadikan karya sastera itu sebagai bahan hiburan semata-mata, tetapi lebih penting sebagai bahan untuk pembaca mendapatkan Pendidikan. Perkataan ‘sastera’ berasal daripada Bahasa Sanskrit iaitu castra yang membawa maksud kitab suci. Selain itu, kesusteraan pula membawa erti segala penghasilan sastera yang dinikmati atau disampaikan, baik melalui lisan dan tulisan mahupun pembacaan dan pendengaran. Sastera yang terhasil merupakan satu alternatif kepada pengarang untuk meluahkan perasaan, melepaskan kecaman-kecaman dan bauran rasa yang terbuku didada. Ianya bertepatan dengan fungsi sastera sebagai alat pelepasan nilai rasa dan jerit naluri kehidupan manusia sejagat Arba’ei Sujud (2008). Namun demikian, Pelbagai maksud dan definisi yang dapat diterjemahkan daripada mana-mana sarjana dan sasterawan negara. Oleh itu dengan adanya pencerakian daripada perkataan sastera dapat memudahkan khalayak untuk mengingati dan memahami makna sastera dengan lebih teratur. Makna-makna daripada pencerakian huruf dari perkataan sastera seperti berikut:
i. S - Seni Bahasa
ii. A - Akaliah
iii. S - Sensitiviti
iv. T - Tersurat Dan Tersirat
v. E - Estetika
vi. R - Realiti
vii. A - Altrnatif
Sebuah karya sastera yang dihasilkan mempunyai tujuan dan fungsi yang dapat dilihat berdasarkan pemikiran daripada pengarangnya. Selain itu, karya sastera juga tidak dihasilkan dengan kekosongan atau tanpa sebab, ianya merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan. Menurut Muhammad Haji Salleh (2000) beliau berpendapat bahawa peranan dan fungsi sastera zaman tradisional lebih meluas dan pelbagai cabarannya. Beliau berpandangan bahawa fungsi sastera zaman pramoden ternyata lebih meluas berbanding fungsi sastera pada zaman moden. Dari segi sastera Islam menekankan peranan dan fungsi sastera sebagai ‘adabiyah’ iaitu untuk memupuk adab budi, kesedaran,pendidikan, akhlak manusia dan bukan hanya seni semata-mata (Hadijah Rahmat 2001). Lantaran itu, terbukti bahawa setiap karya-karya yang dihasilkan oleh pengarang mempunyai mesej dan makna sejurus berfungsi untuk memberi kesan kepada khalayak pembaca. Terdapat beberapa orang sarjana dan pengkaji yang telah memberi pendapat masing-masing mengenai fungsi sastera kepada masyarakat. Antarnya ialah Ramli Isin, Muhammad Haji Salleh, Usman Awang dan Hashim Awang. Berdasarkan daripada pandangan mereka dapat disimpul kan bahwa fungsi dan peranan sastera merangkumi pelbagai aspek luaran dan dalaman dalam kehidupan masyarakat. Karya sastera bukan sahaja mempamerkan bahan atau menggunakan bahasa dan olahan yang indah sahaja tetapi ianya juga memiliki unsur-unsur intelek, tersirat dengan emosi dan perasaan yang penuh dengan ekspresi dan imaginasi serta kaya dengan sifat-sifat kreatif. Dalam kajian ini, penulis akan menggunakan contoh petikan yang terdapat dalam prosa klasik dan puisi klasik sebagai bahan kajian.
Justeru itu, penulisan ini akan memfokuskan beberapa fungsi sastera yang diperoleh dari mana-mana makalah antaranya ialah sastera sebagai medium hiburan,medium protes atau kritik sosial, kemudian sebagai medium mendidik masyarakat dan akhir sekali sastera sebagai dokumentasi masyarakat yang akan dikupas dalam membincangan ini. Terdapat beberapa genre sastera yang akan digunakan sebagai bahan perbincangan antaranya sastera rakyat dan sastera sejarah yang terdapat dalam prosa klasik serta pantun,syair dan peribahasa yang terdapat melalui puisi klasik. Kesusasteraan bukan sahaja berunsur keindahan tetapi terkandung juga dengan unsur falsafah, pengajaran, pendidikan, kiasan, perbandingan hidup dan seni pemikiran. Karya sastera tidak hanya memberikan perasaan senang kepada pembaca, namun juga memberikan pendidikan melalui nilai-nilai ekstrinsik yang terkandung di dalamnya. Selain itu, peranan sastera dapat dilihat dengan pembinaan insaniah dalam kehidupan manusia agar dapat di praktik oleh setiap individu. tambahan pula, nilai kemanusian adalah sangat penting untuk diterapkan dalam diri masyarakat agar dapat membentuk moral dan akhlak yang baik bagi tujuan mengembalikan nilai sejagat yang terkandung dalam sastera. Justeru penjelasan berhubungan dengan fungsi sastera kepada masyarakat secara langsungnya berkaitan dengan persoalan hidup dan kehidupan masyarakat yang akan dijelaskan oleh penulis dalam perbincangan ini secara rinci.
Sastera Sebagai Medium Hiburan
Selain dari membawa pengajaran dan pembelajaran,sastera juga bersifat menghiburkan khalayak, Misalnya, dalam sastera kitab, hiburan itu bukanlah keseronokan hedonistik untuk mencari kesukaan deriaan tetapi lebih bersifat pemuasan rasa ingin tahu atau nafsu terhadap maklumat, sementara hiburan cerekanya agak tipis, Dalam karya-karya mantera dan doa pula adalah untuk menyampaikan alatan untuk kelangsungan hidup lebih dipentingkan. Sementara itu, karya-karya cereka, hikayat dan syair, hiburan itu lebih bersifat terapeutik untuk menyembuh orang yang rawan, duka, nestapa dan bercinta. Selain itu, menjadi Penawar Nurani pembaca atau khalayak, Bahasa sastera bersifat emotif, menenagkan dan memberi kesenangan. Cerita penglipur lara merupakan salah satu daripada cerita sastera rakyat yang terdapat dalam prosa klasik ianya juga dikenali sebagai hikayat atau ceritatera. Hal ini membuktikan bahawa sesuai dengan nama penglipurlara yang membawa maksud sebagai hiburan bagi menghiburkan hati yang lara. Ceritanya berkisarkan dunia dihubungkan dengan kayangan,dewi-dewi dan kesaktian raja-raja yang ditandingi oleh puteri-puteri cantik yang dapat melupakan penderitan masyarakat sehari-hari dan tenggelam dalam cerita-cerita khayal tentang kemewahan dan kenikmatan. Terdapat kisah yang ceritakan secara lisan yang diiringi alat bunyi-bunyian seperti gambus dan gendang dalam Penceritaan Penglipurlara Di Perak,Awang belanga di kedah,Tok selampit di kelantan,Awang batil di perlis Dan Tukang kenterung di tanah jawa. Antara Penceritaan yang telah dibukukan seperti Cerita Sulung Jawa,Hikayat Malim Dewa,Hikayat Raja Muda Dan Hikayat Raja Seri Rama. Ternyata terdapat pelbagai lagi cerita penglipur lara yang dapat diperolehi agar dapat mengekalkan keharmonian sejagat. Kemudian diteruskan lagi dengan teliti melalui puisi klasik yang menerapkan unsur hiburan kepada masyarakat. Penghasilan Pantun juga mempunyai makna penyampaian yang tersendri dan juga berperanan sebagai penghibur masyarakat dari zaman dahulu sehingga kini. Hal ini dapat ditemui dalam contoh pantun jenaka dibawah:
Buah jering dari jawa
Naik sigai keatas atap
Ikan kering gelak ketawa
Mendengar tupai membaca kitab
Menurut daud ahmad (1965) pantun ialah rangkapan tertua dan asli kepunyaaan orang-orang melayu. Justeru, banyak lagi pantun-pantun jenaka yang dapat kita peroleh melalui makalah-makalah yang telah dihasilkan oleh penulis serta berfungsi untuk menghiburkan masyarakat sekeliling. Pantun jenaka tidak jauh berbeza berbanding dengan pantun biasa yang lain. Hal yang dapat diperhatikan memalui perbezaan antara pantun jenaka dan pantun yang lain adalah dari segi makna dan isinya. Pantun jenaka lebih memfokuskan untuk menghiburkan hati pembaca kerana dalam pantun jenaka terdapat unsur-unsur dan perkataan yang memberi keseronokkan, terutamanya topik yang dapat menghadirkan banyak gelak ketawa ketika dibaca dan diperdengarkan. Oleh itu, Pantun jenaka agak sukar untuk dihasilkan kerana harus seimbang antara hiburan dan nilai-nilai yang hendak disampaikan.
Sastera Untuk Mendidik Masyarakat
Selain menjadi mengubat jiwa,sastera adalah sebagai alat mengajar dan mendidik. Hasil-hasil sastera lisan adalah bersifat didaktif iaitu mengandungi unsur pengajaran dan pendidikan moral kepada masyarakat tradisi. Cerita-cerita lisan ini terselit nasihat, pengajaran, teladan, yang sangat berguna sebagai panduan ke arah kesejahteraan hidup masyarakat. Misalnya anak-anak dinasihati agar tidak mengamalkan sifat tamak, takbur, sombong dan bongkak seperti mana yang terdapat pada sifat-sifat tertentu yang ada pada binatang dalam cerita-cerita binatang. kemudian melalui cerita Si Tanggang pula anak-anak dididik agar tidak derhaka kepada kedua orang tua kerana anak yang derhaka tidak akan selamat hidup di dunia dan akhirat. Disini, terbukti bahawa cerita-cerita tersebut dapat dijadikan teladan oleh masyarakat sekeliling dan juga dapat memberikan impak yang positif kepada golongan kanak-kanak. Tambahan pula, melalui jalan cerita dalam cerita-cerita roman ada diperkenalkan dengan sifat kesetiaan kepada pemimpin, sikap yang dapat dicontoi dan amalan gotong-royong, Kerjasama serta tolong menolong yang merupakan moral disebalik penceritaan tersebut yang banyak memberi manfaat dan keberkatan terutama dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Oleh itu, dapat kita perhatikan dengan jelas bahawa sastera melayu mampu menjadi bahan Pendidikan buat masyarakat dengan adanya unsur-unsur seperti pengarajan,moral atau ilmu pengetahuan yang tinggi nilainya terhadap masyarakat.
Cerita binatang adalah salah satu bentuk sastera rakyat yang sangat popular menurut Liau Yock Fang (1978). Cerita binatang mempunyai watak-watak atau perwatakan utamanya terdiri daripada binatang yang diberi jiwa manusia iaitu pandai bercakap,berfikir, bertindak, menipu, tertipu dan sebagainya. Selain dari berlakon sesama binatang terdapat juga watak binatang berlakon dengan makhluk lain seperti manusia, raksasa atau benda lain yang tidak bernyawa. Antara cerita-cerita binatang yang sering didengari dalam masyarakat melayu adalah Hikayat Sang Kancil dan Hikayat Pelanduk Jenaka. Selain itu, terdapat cerita binatang di negeri perak dan kedah yang menceritakan buaya yang tidak tahu membalas budi. Namun, cerita binatang bukan sahaja dikenali dalam masyarakat melayu malah juga terdapat di seluruh dunia seperti di jawa, india dan eropah. Justeru, mereka menggunakan watak binatang yang berbeza tetapi peranannya masih sama iaitu untuk mendidik dan dijadikan teladan untuk masyarakat.
Selain itu, peribahasa yang terdapat dalam puisi klasik terdiri daripada simpulan bahasa, perbandingan, perumpamaan, pepatah, bidalan, dan kata-kata hikmat ianya memainkan peranan penting dalam masyarakat di negara kita terutamanya di kalangan orang-orang Melayu. Peribahasa digunakan untuk menyampaikan sesuatu nasihat, teguran, atau ingatan secara kiasan atau sindiran. Peribahasa wujud apabila masyarakat Melayu menyedari betapa susahnya untuk memberikan nasihat atau teguran secara terus-terang kepada orang lain tanpa menyinggung perasaannya. Sebahagian besar pengajaran dapat diraih melalui pengalaman hidup. Kehidupan telah mengajar manusia supaya berwaspada dan berfikir sebelum bertindak supaya tidak menyesal pada kemudian hari. Pengajaran ini terakam dalam peribahasa seperti di bawah:
i. Sesal dahulu pendapatan
Sesal kemudian tiada berguna.
ii. Lepas di tangan jangan diharap
Orang pulang jangan dinanti
Mulut manis jangan didengar.
Kesimpulannya, Peribahasa dapat dijadikan pegangan atau panduan di dalam kehidupan seseorang kerana banyak peribahasa mengandungi pengajaran yang tidak bercanggah dengan anutan agama, yang sentiasa mengajar manusia untuk mencari dan menganjurkan kebenaran, kemuliaan dan menegakkan yang hak. Menurut Izani Daud (2001) peribahasa merupakan gambaran secara berkias dan berseni tentang sesuatu keadaan dan berupaya mengisahkan ciri-ciri negatif masyarakat melayu. Oleh itu, peribahasa dapat dimanfaatkan oleh generasi sekarang dan masa depan sebagai pegangan dan panduan hidup.
Sastera Sebagai Medium Kritikan Sosial
Di samping itu, sastera merupakan alat mengkritik yang mampu dijadikan sebagai cabang ilmu. Sehubungan dengan itu, kritikan sosial terdapat tiga perkara yang perlu diambil berat iaitu menilai, membandingan dan mengungkap mengenai suatu perkara. Namun, setiap perkara tersebut mestilah berkait rapat dengan nilai-nilai yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan. justeru, melalui kritikan sosial adalah salah satu tindakan dalam membanding, mengamati dan menilai sesuatu perkembangan secara cermat tentang kesan baik atau buruk yang perlu ada dalam masyarakat. Selain itu, tindakan mengkritik boleh dilakukan oleh sasterawan, sarjana dan sesiapa sahaja. Hal ini disebabkan, kritikan sosial merupakan suatu perkara penting untuk memelihara sistem sosial masyarakat. Tambahan lagi, kritikan sosial dalam sastera juga merujuk kepada satu bentuk komunikasi dalam masyarakat yang berfungsi sebagai pengawalan terhadap jalan sesuatu cerita dalam sistem bermasyarakat. Kritikan sosial yang terdapat dalam sastera sangat penting kerana ia berfungsi sebagai penyampai mesej kepada pembaca. Menurut (Agus Wibowo. 2008) karya sastera yang kritikal dan berimaginasi mampu menjawab setiap persoalan dalam kehidupan manusia. Misalnya, karya sastera mampu memberikan seribu satu jawapan yang dihadapi oleh manusia yang disertai dengan unsur keindahan mahupun keseronokan. Contohnya, dalam cerita Lebai Malang telah memegang watak yang terlalu bodoh sehingga mendatangkan kesan buruk kepadanya sendiri. Jelaslah bahawa kritikan sosial dalam sastera ini mampu dijadikan rujukan oleh masyarakat supaya sentiasa mengambil langkah bijak dalam membuat sesuatu keputusan. Cerita-cerita lisan lain juga digunakan sebagai saluran untuk membuat kritikan atau sindiran terhadap raja atau orang-orang bangsawan. Misalnya melalui cerita-cerita jenaka seperti cerita Pak Kaduk, jelas menyindirkan golongan berkuasa yakni raja yang bersikap zalim, tamak, dan pentingkan kuasa dengan mengenepikan kesejahteraan hidup rakyat jelata, melalui cerita Pak Pandir, Lebai Malang, ianya juga terselit unsur-unsur sindiran terhadap orang yang tamak,kedekut,gilakan kuasa dan orang-orang yang sering mengambil kesempatan atas diri orang yang lemah semata-mata untuk kepentingan nafsu dan kekayaan diri sendiri.
Seterusnya Sejak dahulu lagi, seloka telah menjadi media mengkritik masyarakat walaupun pengarang sebenar kebanyakan seloka ini tidak dapat dipastikan, namun terbukti bahawa pemikiran dan pemerhatian mereka terhadap alam dan masyarakat di sekeliling amatlah tajam. Justeru, lebih mengagumkan lagi apabila kritikan mereka kekal relevan sehingga hari ini. Antara seloka yang terkenal dalam kesusasteraan Melayu ialah Seloka Pak Kaduk, Seloka Pak Pandir dan Seloka Mak Si Randang yang berdasarkan pada cerita-cerita jenaka. Watak-watak seperti Pak Pandir, Pak Kaduk dan Mak Si Randang mewakili golongan yang telah menyebabkan kekacauan dalam masyarakat, lalu dikritik melalui sindiran yang tajam. Seloka terus hidup kerana kritikan-kritikan dalam seloka masih relevan dengan situasi pada hari ini. Sebagai contoh, Seloka Mak Si Randang yang mengisahkan seorang insan yang berbudi kepada orang lain sehingga sanggup berbuat apa-apa sahaja walaupun perbuatan itu merugikan sehingga merosakkan diri dan keluarga sendiri. Justeru, Mak Si Randang menanak nasi untuk dijamu oleh si dagang iaitu si perantau dari luar kampung dan meruntuhkan rumah untuk mendapatkan kayu bagi menyalakan api. Di smping itu, watak Mak Si Randang dikaitkan dengan pemimpin, khasnya untuk pemimpin politik yang mengabaikan hak rakyat asal kerana lebih mengutamakan tuntutan orang lain atau orang luar, walaupun seloka, sebuah karya puisi tradisional Melayu selalunya menyentuh perasaan dengan mendatangkan hiburan. Namun, isinya tajam dalam mengkritik masalah isu semasa yang berlaku dalam masyarakat sekarang (Zurinah Hasan 2021). Disini, jelaslah bahawa seloka dari puisi klasik ini berfungsi sebagai medium kritikan sosial yang dapat menyampaikan teguran serta kritikan dalam menanagani isu yang timbul sehingga hari ini.
Sastera Adalah Dokumentasi Kehidupan Masyarakat
Sastera dapat dianggap sebagai perakam ilmu sesuatu bangsa. Sehubungan dengan itu, Ilmu di sini dapat ditakrifkan sebagai pelajaran yang teratur dan teruji daripada deretan pengalaman sesuatu bangsa, sesuatu masyarakat atau seorang manusia. Oleh yang demikian, karya-karya yang menurunkan maklumat dan fakta tentang perkembangan sejarah, tarikh kelahiran dan kematian seseorang raja, peperangan, penaklukan, perdamaian, persaingan, perdagangan dan kunjungan ialah ilmu sejarah. Pelbagai gambaran kehidupan masyarakat yang dapat kita lihat melalui prosa klasik seperti, sastera sejarah, sastera zaman peralihan, sastera pengaruh islam yang menceritakan tentang pelbagai ilmu-ilmu misalnya ilmu pembuatan, adat istiadat, asal usul dan sebagainya. Misalnya, cara membuat dakwat, melebur dan menggabungkan besi keris ialah teknologi warna dan logam. Sastera ialah alat dan wadah bangsa Melayu yang tercakup antara didalamnya karya agama, adat istiadat, hukum sejarah, salsilah, dan perubatan (Muhammad Haji Salleh:2000)
Dalam khazanah terdapat ilmu binatang, ramalan dan keraksian manusia. Selain itu, khazanah juga amat kaya dengan kitab-kitab agama yang mempersoalkan, memperkembangkan serta memperhaluskan perbincangan, dan menyimpulkan pelbagai perdebatan agama Islam, daripada dasar-dasar utama rukun iman hinggalah kepada persoalan yang tergolong dalam daerah tasawuf, falsafah dan tauhid. Setelah kedatangan islam ke kepulauan melayu, telah memberi banyak sumbangan yang amat besar terhadap perkembangan intelektualisme orang-orang melayu. Islam telah memperkenalkan berbagai-bagai disiplin keilmuan kepada orang melayu seperti teologi, falsafah, mistisisme,logik dan perundangan. Pendokumentasian sastera rakyat dapat dilihat dari sastera daerah yang mana ianya merupakan sastera lisan yang bermula daripada bahan-bahan yang dirakam atau dicatatkan. Ianya bukan sahaja dikatalogkan malah dapat digunakan oleh perpustakaan atau penkaji sebagai sumber rujukan dan sebagainya. Justeru, pendokumentasian sastera bercorak lisan bukan sahaja bertujuan untuk mengabdikan sastera lisan tersebut akan tetapi ianya juga menyentuh dari segi penggunaan sebagai bahan kajian untuk mendalami dan mengetahui tentang budaya dan masyarakat yang telah dihasilkan oleh sastera. Sehubungan itu, didapati bahawa tradisi tulisan di rantau telah kaya dengan hasil-hasil kesusteraan. Misalnya dapat diteliti terhadap kesusteraan melayu atau kesusteraan jawa klasik.
Namun demikian, Menurut Rohani Rustam Dan Anwar Ridhwan (1979) penghasilan sastera tidak semata-mata bergantung pada tulisan, kerana melalui pengucapan bahasa lisan, sastera dapat dilahirkan. Selain itu, daripada ungkapan-ungkapan peribahasa,epik dan mitos ianya bukan sekadar cerita tetapi mempunyai banyak fungsi yang dapat diketengahkan. Kemudian, tradisi tulisan juga dapat mencerminkan pencapaian budaya yang tinggi dalam satu-satu peradaban, ianya dapat ditelusi melalui masyarakat melayu zaman lampau. Seterusnya, sastera juga menjadi sebagai alat perhubungan atau komunikasi sastera lisan, terutamanya hasil-hasil karya yang berbentuk puisi sebagai alat perhubungan yang paling istimewa untuk menyampaikan hajat. Misalnya dalam adat perkahwinan, orang-orang Melayu menggunakan pantun sewaktu berkomunikasi, antara wakil pihak pengantin lelaki dengan pihak pengantin perempuan. Pantun digunakan sewaktu adat merisik berlangsung adat meminang dan ketika majlis persandingan. Terdapat pelbagai jenis pantun yang mempunyai tema tertentu berkait rapat dengan perasaan cinta, kasih sayang, puji-pujian, nasihat, agama, adat, telatah dan corak hidup masyarakat (Jamilah Hj. Ahmad, 1993: 114) dalam Mohd Khairi bin Ariffin (2010). Antara contoh pantun yang digunakan sesetengah masyarakat untuk meminang:
Pihak lelaki:
Akar memanjat pohon ara
Nampaknya cantik berseri laman
Besarnya hajat tidak terkira
Hendak memetik bunga ditaman.
Pihak Perempuan:
Pohon cempedak ditepi titi
Pohon nangka buah sebiji
Kalau sudah berkenan dihati
Marilah kita mengikat janji
Berdasarkan pantun di atas, ianya jelas menggambarkan tentang adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu sejak dahulu lagi dan diamalkan sehingga ke hari ini. Pantun ini dipertahankan oleh mereka yang meneruskan adat ini dan menjadi kebanggaan orang Melayu sekarang. Pantun ini mengisahkan tentang sudah menjadi lumrah kehidupan atau menjadi kebiasaan seperti peribahasa pinang akan pulang ke gagang begitu juga dengan manusia mahukan pasangan hidup dan akan memilih pasangan hidupnya apabila sudah sampai jodohnya. Pantun yang biasanya dipertuturkan semasa adat merisik, pertunangan atau perkahwinan adalah gambaran bahawa orang Melayu sentiasa berkomunikasi secara bersopan dalam acara tertentu. tambahan pula, tegasnya, budaya masyarakat Melayu begitu unik dan kaya dengan kesenian bahasa antara kemahiran berpantun dalam setiap upacara adat. Setiap mereka yang bergelar lelaki akan mencari pasangannya iaitu seorang perempuan untuk menjadi peneman hidupnya. Pada kebiasaannya, pihak lelaki akan menghantar rombongan untuk merisik perempuan yang disukainya dan berniat untuk mengahwininya. Di dalam pantun adat ini, seorang lelaki akan bertindak sebagai ketua yakni selalunya bapa kepada anak lelaki dan rombongannya ke rumah pihak perempuan dan merisik tentang latar belakang gadis tersebut dan menyatakan tujuan mereka berkenaan hasrat pemuda yang ingin menikah dengan wanita itu. Pantun adat adalah bertujuan untuk memartabatkan adat sesebuah masyarakat terutamanya masyarakat Melayu. Ini kerana, masyarakat Melayu sangat berpegang pada adat. Justeru, terdapat banyak pepatah serta ungkapan yang merujuk kepada perlaksanaan sesuatu adat itu, tetapi kebanyakan adat adalah merujuk kepada peraturan kehidupan masyarakat tersebut. Dalam konteks ini, dapat dirumuskan bahawa pantun bukan sahaja berfungsi menyampaikan mesej semata-mata, tetapi ia menerangkan tentang kehidupan sesebuah masyarakat itu bagaimana ia berlaku dan berkesudahan.Namun demikian masih banyak bidang-bidang kesusteraan yang belum lagi didokumentasikan terutamanya khazanah dan adat-adat di bumiputra sabah dan sarawak. Oleh itu, sangat penting bagi pengkaji- pengkaji dan pelapis sasterawan untuk menyelongkar dan menggali khazanah yang tersembunyi agar dapat di ketahui oleh semua masyarakat tentang kehebatan dan keunikan kesusteraan melayu itu tersendiri.
Akhir kata, sudah terang lagi bersuluh bahawa pantun sememangnya banyak kelebihan dan keistimewaannya tersendiri. Misalnya, pantun berfungsi sebagai hiburan, serta berguna dalam adat istiadat, sebagai nasihat, mengkritik dan sebagainya. Bagi meneruskan generasi orang terdahulu, kita bukan sahaja harus menghargai keunikan dan kesenian pantun Melayu, malah kita harus mempertahankan dan seterusnya membudayakan tradisi penggunaan pantun dalam kehidupan seharian agar tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas yang dibawa arus zaman yang serba canggih dengan kemodenan zaman milineum ini. Justeru, kita sebagai perwaris bangsa perlu bekerjasama ibarat aur dengan tebing, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat dalam usaha untuk terus memartabat dan memperkasakan pantun sebagai satu wahana dan mideum komunikasi sopan antara masyarakat Melayu yang terkenal dengan budi bahasanya. Oleh sebab itu, ternyatalah keistimewaan pantun dan peranannya dalam masyarakat tidak dapat dipertikaikan.
KESIMPULAN
Sastera dapat menjadikan pembaca memahami kehidupan dengan lebih berfalsafah, iaitu dapat menerima keperihalan tentang manusia dan masyarakat yang kadangkala sukar untuk di tafsirkan oleh fikiran rasional. Sememangnya kehidupan manusia ini penuh dengan kemungkinan yang tidak terduga dan sastera mampu menjelaskannya. Pengarang ialah manusia kreatif yang memiliki kemampuan berfikir, berimaginasi, dan berbahasa untuk menghasilkan karya. Shahnon Ahmad (1991) menegaskan bahawa sastera sebagai seismograf kehidupan, iaitu sastera bukan sahaja mencatatkan tetapi menganalisis perihal manusia dan masyarakat. Berdasarkan penelitian dan perbincangan yang telah dilakukan dapat dirumuskan bahawa sastera mempunyai fungsi-fungsi yang tertentu agar dapat memberi rujukan kepada masyarakat sehingga hari ini. justeru, tidak wajarlah untuk masyarakat menyisihkan sastera kerana ianya telah membeli impak yang besar terhadap kehidupan masyarakat. Oleh itu, sebagai masyarakat yang menghargai sumbangan sastera haruslah mengetegahkan dan mengangkat karya-karya sastera ini lebih jauh lagi hingga ke pelusuk dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan