Sabtu, 25 November 2023

Kritikan Filem Keluarga 69

    


    Filem Keluarga 69 ialah sebuah filem Melayu klasik bergenre komedi serta kekeluargaan yang diterbitkan pada tahun 1967. Filem Keluarga 69 diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih oleh Merdeka Film Productions juga dikenali sebagai Merdeka Film Studio. Selain itu, ianya merupakan sebuah studio perfileman Malaysia yang terletak di Ulu Klang, Selangor. Syarikat ini berjaya menerbitkan 89 buah filem Melayu dengan 81 filem hitam-putih dan lapan filem berwarna. Syarikat ini tidak aktif selepas pengeluaran filem Loceng Maut pada tahun 1977. Hal ini menyebabkan studio ini ditutup secara rasminya beberapa tahun kemudian kerana kemunculan televisyen berwarna pada tahun 1975 dan Shaw Brothers Ltd. di Hong Kong melalui studio. Bekas pengarah Sebelum penubuhan Merdeka Film Productions ini, ialah Cathay-Keris dan Ho Ah Loke yang terlebih dahulu menggunakan perkataan Merdeka dalam menubuhkan syarikat produksinya dengan penubuhan Merdeka Film Enterprise pada tahun 1958. Kemudian pada tahun  tahun 1959, syarikat produksi ini telah berjaya menerbitkan sebuah filem berjudul Hilang Gelap Datang Terang dengan usahasama produksi Perfini dari Indonesia yang turut menampilkan Dollah Sarawak, Maria Menado, Chitra Dewi, Rendra Karno serta beberapa artis dari Jakarta. Filem tersebut merupakan filem pertama dan terakhir keluaran syarikat berkenaan. Pada tahun 1960, Merdeka Film Enterprise telah bergabung dengan Shaw Brothers Ltd. dan Encik H.M. Shah kemudiannya menarik diri daripada menjadi rakan kongsi dengan Studio Cathay-Keris, maka tertubuhlah sebuah lagi syarikat perfileman di Ulu Kelang, Selangor dengan nama Merdeka Filem Studio sebelum bertukar kepada Merdeka Film Productions. Filem pertama yang diterbitkan oleh Merdeka Film Productions ialah Tun Tijah arahan Tan Sri L. Krishnan dan dibintangi oleh Abdullah Chik, Salmah Ahmad dan Mustapha Maarof. Kebanyakan artis yang membintangi filem-filem terbitan syarikat ini adalah kesemuanya dari produksi terulung Malay Film Productions (MFP) dan Cathay-Keris Film Productions yang berhijrah ke Kuala Lumpur bagi menyambung kerjaya seni reka selepas industri perfileman di Jalan Ampas, Singapura semakin merosot. 

    Antara pelakon-pelakon yang terlibat dalam filem ini adalah P. Ramlee iaitu pengarah kepda filem ini yang memegang watak sebagai Osman Bakar, anak orang kaya Bakar yang mempunyai banyak harta. Selain itu, Siput Sarawak atau nama sebenar Ramlah Mohamad lahir pada 1921 yang merupakan seorang seniwati filem Melayu. Beliau memegang watak sebagai Siti Mariam, janda Abu Samah, isteri baru Osman, ibu Aminah lahir; Beliau berlakon kali pertama dalam filem arahan B.S. Rajhans, Filem Cinta bersama S. Roomai Noor pada 1948.Filem Cinta memberi makna kerana selepas itu beliau dan S. Roomai Noor berkahwin, lalu dikurniakan cahaya mata yang dinamakan Ithnaini atau lebih dikenali sebagai Anita Sarawak. Noran Nordin sebagai Siti Noraini dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 1947, mula bergerak aktif dalam bidang lakonan drama pentas di waktu persekolahan. Di Usia muda, bakatnya sudah dikesan oleh seniman agung P. Ramlee ketika melakukan pementasan drama di sebuah sekolah di Ampangan Negeri Sembilan. Beliau terkenal sebagai watak 'LING' iaitu isteri Re dalam filem Do Re Mi (1966) dan juga isteri Ibrahim Din dalam Anak Bapak (1968) terlebih dahulu telah berlakon dalam beberapa buah filem sebelum itu. Rentetan itu,  A. R. Tompel sebagai Orang Kaya Bakar, bapa Osman, suami Aminah, duda mak Osman. A.R. Tompel atau nama sebenarnya Aman Ramlie bin Jaafar dilahirkan pada 24 Oktober 1918 di Tanjung Balai, Asahan, Indonesia. Sebelum menyertai bidang lakonan, A.R. Tompel sudah pun bergiat aktif dalam kumpulan bangsawan. Kemudian Khatijah Hashim sebagai Aminah yakni isteri muda Orang Kaya Bakar, anak kepada Abu Samah. Seterusnya, Habibah Haron sebagai janda En. Bakar, emak Osman, Bini baru Abu Samah manakala Salleh Ghani sebagai Badim bin Badam dan Idris Hashim sebagai Abu Samah yakni Orang Gaji orang kaya Bakar. Julie Faridah sebagai Faridah, tunangan En. Rashid Ed Osmera sebagai Encik Rashid pemilik Syarikat Rakaman Purnama. Karim Latiff sebagai Encik Ghazali pemilik Syarikat Rakaman Chap Angsa. Minah Hashim sebagai Timah, isteri Saidin Pekak. Ahmad Dadida sebagai Saidin Pekak. Yusof Bujang sebagai Yusof penganjur konsert. Orang dijumpai oleh Badim di stesen keretapi. Sharif Babu sebagai Karim. Mak Enon, A. K. Jailani, Ibrahim Joned, Noor K.K sebagai Pelanggan Warung.

    Filem ini mengisahkan tentang pertembungan antara dua keluarga berbeza, iaitu keluarga Bakar dan keluarga Abu Samah tetapi disatukan dalam cara yang luar biasa menerusi perkahwinan antara keluarga mereka.Pada mulanya, dua keluarga ini mempunyai perjalanan hidup berbeza, iaitu Abu bercerai dengan isterinya, Siti Mariam, manakala Bakar telah bercerai dengan Siti Noraini. Setelah Abu bercerai, beliau membawa anaknya, Aminah untuk tinggal sementara bersama dengan abangnya, Saidin Pekak dan kakak iparnya, Timah, sementara Abu mencari pekerjaan. Di sebelah keluarga Bakar pula, anaknya Osman Bakar hidup dalam kemewahan milik bapanya, Orang Kaya Bakar, tetapi diusir keluar dari rumah oleh bapanya kerana tidak tahan dengan sikap Osman yang selalu keluar berfoya-foya dan mabuk. Osman yang dahulunya bekerja dengan bapanya, terpaksa tinggal dengan Badim, iaitu salah seorang penyewa rumah milik Bakar. Mereka tinggal bersama di rumah tersebut dan cuba membuat pelbagai pekerjaan, akan tetapi berakhir dengan kegagalan. Setelah beberapa lama, mereka akhirnya dihalau oleh Bakar sendiri akibat daripada hutang sewa yang tidak berbayar. Setelah itu mereka terpaksa berkelana mencari pekerjaan sehingga ke luar negeri, dan bertemu dengan penganjur pentas nyanyian, Yusup, dan mereka dibawa ke Ipoh, Perak.

    Di situ mereka bertemu dan berkenalan dengan Siti Mariam yang bekerja di sebuah Kelab Malam di Ipoh. Osman menjadi penyanyi utama di pentas nyanyian tersebut sehingga diberhentikan atas kerana kegagalan Osman menghadirkan diri di satu persembahan malam akibat kecederaan dalam pergaduhan di kelab malam tempat Siti Mariam bekerja. Apabila mereka tiada lagi tempat tinggal akibat diberhentikan, Osman dan Badim dipelawa untuk tinggal serumah bersama dengan Siti Mariam dan rakannya, Ani. Sewaktu Osman dan Badim menghuni di rumah itu, Osman didatangi syarikat rakaman Purnama, En. Rashid, dan syarikat rakaman Chap Angsa, En. Ghazali. Pada mulanya, Osman bersetuju untuk menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman Purnama, hasil dari pujukan dan kepura-puraan Faridah, teman wanita En. Rashid. Pada waktu itu juga, Siti Mariam menaruh hati kepada Osman akan tetapi Osman lebih menyukai Faridah yang berpura-pura, menyebabkan Siti Mariam mengalami kekecewaan. Apabila Osman mendapat tahu bahawa dirinya dipermainkan oleh En. Rashid dan Faridah atas kerana kepentingan mereka, Osman yang teramat kecewa hampir melakukan bunuh diri dengan terjun dari bangunan. Perbuatan Osman tersebut sempat dihalang oleh Siti Mariam, Ani dan Badin yang datang mengekori Osman ke tingkat bumbung atas bangunan dan memujuknya. Faridah dan En. Rashid yang turut memerhatikan Osman diekori Siti Mariam, Ani dan Badin dari jauh, juga mengekori mereka sehingga ke tingkat bumbung atas tersebut. 

    Pada waktu itu, Faridah yang dituduh berpura-pura melahirkan hasrat hati pada Osman sehingga memutuskan pertunangan dengan En. Rashid, akan tetapi Osman yang dahulu menyukai Faridah, akhirnya beralih arah kepada Siti Mariam, dan mereka dikahwinkan bersama. Osman yang dahulunya menolak kontrak rakaman syarikat Chap Angsa, kini menerima kembali dan menjadi penyanyi syarikat tersebut. Bagi Abu pula, secara kebetulan, beliau mendapat pekerjaan dengan bekerja sebagai pembantu Orang Kaya En. Bakar. Sewaktu En. Bakar masuk ke hutan untuk memburu burung yang dibantu oleh Abu, En. Bakar terserempak dengan seorang gadis kampung yang sedang mencuci baju di sungai. Apabila En. Bakar menyuruh Abu melihat gadis tersebut, ternyata gadis tersebut adalah anak Abu, Aminah. Abu yang pada mulanya tidak memberitahu kepada En. Bakar yang gadis tersebut adalah anaknya, diarahkan oleh En. Bakar untuk mencari dan bertemu dengan keluarga gadis tersebut. Abu yang sudah sedia tahu Aminah tinggal bersama dengan keluarga Saidin Pekak dan Timah, terus ke rumah mereka dan meminta mereka berpura-pura menganggap Aminah adalah anak mereka. Abu juga menyuruh Aminah untuk melayan En. Bakar dengan baik. Setelah En. Bakar bertemu dengan keluarga tersebut, En. Bakar menyatakan hasrat untuk meminang Aminah.

    Aminah yang bersetuju dengan pinangan En. Bakar akhirnya dikahwinkan bersama. Apabila En. Bakar dan Aminah telah berkahwin, mereka tinggal bersama di rumah Bakar, dan Abu turut tinggal di rumah tersebut sebagai pembantu. Pada waktu itu Abu dan Aminah masih berpura-pura seperti tiada perhubungan kekeluargaan, walaupun mereka selalu tersasul di hadapan En. Bakar. Pada satu hari, Osman dan isteri barunya, Siti Mariam bercuti selama seminggu untuk bertemu dengan bapanya, En. Bakar. Apabila mereka sampai di rumah En. Bakar, Osman pada mulanya cuba menyelinap masuk rumah bapanya untuk melihat sikap bapanya terhadapnya, bertemu dengan Aminah yang baru keluar dari dapur. Osman yang tertarik dengan Aminah, disapa oleh bapanya. Pada mulanya En. Bakar menyangka Osman sedang mabuk, akhirnya menerima Osman kembali ke rumahnya setelah Osman menjelaskan telah meninggalkan perkara haram tersebut dan menjadi seorang penyanyi rakaman berjaya. Sewaktu itu, En. Bakar memperkenalkan Aminah sebagai ibu tiri baru Osman. En. Bakar juga melahirkan hasrat supaya Osman berkahwin, akan tetapi Osman telah menyatakan yang beliau telah berkahwin dan isterinya ada diluar rumah. En. Bakar dengan itu lantas menyuruhnya masuk untuk diperkenalkan kepada En. Bakar dan Aminah. Apabila Osman memperkenalkan En. Bakar dan Aminah, Aminah, iaitu anak kepada Siti Mariam, dan Siti Mariam, ibu kepada Aminah, sama-sama terkejut kerana akhirnya mereka bertemu semula setelah sekian lama. Siti Mariam menyatakan beliau telah mengutus surat kepada anaknya, Aminah, akan tetapi suratnya tidak diterima kerana Aminah telah berpindah. 

    Pada waktu itu, En. Bakar dan Osman turut terkejut, pening serta tidak terkata kerana mereka berkahwin dengan orang lain yang juga sama-sama ibu dan anak. Walaupun perkahwinan mereka sah disisi syarak, tetapi timbul persoalan tentang panggilan kekeluargaan masing-masing. Osman pada mulanya berbincang dengan bapanya dan mencadangkan pertukaran isteri dengan bapanya, tetapi tidak dipersetujui En. Bakar. Keadaan mereka bertambah keliru apabila Abu masuk ke dalam rumah En. Bakar untuk memperkenalkan isteri baru Abu, dan pada waktu itu jugalah, Siti Mariam bertemu semula dengan Abu. Pada waktu itu, semuanya terbongkar apabila diketahui Abu merupakan duda kepada Siti Mariam dan bapa kepada Aminah. Tidak cukup dengan itu, Siti Noraini, janda kepada En. Bakar dan ibu kepada Osman, masuk ke dalam rumah En. Bakar dan membuka satu lagi kekeliruan yang Abu kini telah berkahwin dengan Siti Noraini. Dari situ mereka sama-sama bertemu dalam satu rumah, akan tetapi kekeliruan yang besar timbul tentang bagaimana panggilan antara mereka, sehingga Osman menyatakan "keluarga ini telah menjadi tunggang-terbalik, keluarga songsang, keluarga 69".

    Umum mengetahui bahawa filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee penuh dengan nilai dan pengajaran. Walaupun tersirat, mesejnya cukup terang dan mudah difahami. Pada pandangan saya filem keluarga 69 ini memaparkan kisah kerumitan hubungan kekeluargaan yang dialami oleh sebuah keluarga besar disebabkan berlakunya perkahwinan silang antara mereka yang mengelirukan. Hal ini dikatakan sedemikian, kerana masing-masing berkahwin secara sembunyi tanpa mengetahui atau menyembunyikan hubungan kekeluargaan sedia ada, perkara tersebut telah menyebabkan hubungan kekeluargaan antara mereka saling bersilang dan menjadi semakin rumit. Kita mungkin menontonnya sebagai hiburan tapi sebenarnya filem tersebut menimbulkan persoalan berkaitan hubungan kekeluargaan melalui perkahwinan yang dibenarkan oleh syarak. Rentetan itu, terdapat barisan pelakon yang memegang pelbagai watak yang berbeza turut menghiburkan para penonton dengan gelagat mereka yang mencuit hati. Sebagai contoh, Saidin Pekak dikenali dengan masalah pendengarannya dan sering dimarahi orang di sekelilingnya kerana asyik memberi jawapan yang tidak berkaitan dengan soalan yang ditanya. Pada pandangan saya, Allahyarham P. Ramlee amat bijak dalam menghasilkan filem-filem sebegini yang membuatkan kita, berfikir secara kritis walaupun persembahan jalan ceritanya bergenre komedi. Perkara tersebut tidak mustahil boleh berlaku kepada masyarakat pada masa kini terutamanya bagi mereka yang tidak mengenali saudara-mara, apatah lagi tidak mahu mengambil tahu asal usul keluarga sendiri. Justeru itu, Islam amat menitikberatkan soal perhubungan, salasilah dan zuriat nasab keturunan. Ini bagi memelihara umat manusia daripada sebarang perlakuan keji seperti zina, sumbang mahram, pergaulan bebas dan hubungan songsang yang bukan sahaja boleh menyebabkan kerosakan masyarakat, bahkan boleh menyebarkan wabak penyakit sama ada berkenaan kelamin mahupun genetik, pengabaian dan kezaliman dalam institusi rumah tangga serta keruntuhan akhlak dan kehidupan generasi akan datang. Ini juga berkaitan dengan hukum-hukum syariah dalam kehidupan seharian yang lain seperti soal nasab, wali nikah dan hak pembahagian harta pusaka. Oleh itu, Perlu juga kita ingat bahawa Islam telah menggariskan batas-batas pergaulan yang perlu diikuti walaupun dalam kalangan kaum kerabat ahli keluarga seperti hubungan mahram dan bukan mahram yang melibatkan aurat, adab bersalaman, safar (perjalanan bersama) dan bersekedudukan terutamanya ketika dalam majlis kenduri-kendara, rumah terbuka, ziarah hari raya dan majlis perkahwinan saudara mara.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Isu Semasa