Sabtu, 16 Disember 2023

Kepentingan Teori Tempatan Dalam Kritikan Kesusasteraan Melayu




KEPENTINGAN TEORI TEMPATAN DALAM KRITIKAN KESUSASTERAAN MELAYU


Mengamati tanggungjawab penulis dan pengarang dalam berkarya, lebih-lebih lagi pengarang generasi kini, mereka acap kali diagah untuk terus mengejar pembaharuan dan memecah sempadan kreativiti. Antara kajian dalam teks sastera adalah penciptaan teori sastera tempatan dan antara kepentingan teori sastera tempatan ini adalah untuk menguatkan prinsip pengkaji sastera, pengkritik malah pengarang itu sendiri. Teori dalam kajian sastera dicipta berdasarkan kriteria dan nilai yang diturunkan melalui teks-teks tempatan sendiri. Maknanya teori-teori tempatan yang dicipta itu berdasarkan etos, budaya dan roh bangsa Melayu sendiri. Pada padangan saya teori sastera akan terus mendapat tempat dalam gagasan ilmu ini. Sehubungan itu, teori sastera tempatan amat penting dan menjadi kegunaan para pengkaji dan pengkritik pada peringkat sarjana, esei-esei mahupun teks kritikan sastera di akhbar. Rentetan itu, generasi kini dan generasi hadapan haruslah menghidupkan teori sastera tempatan agar sentiasa berkembang dengan pesat. Teori dalam sastera sememangnya memainkan peranannya yang tersendiri, dan peranan itu adalah sangat penting untuk memajukan sastera sebagai gagasan ilmu dan pemikiran. Contohnya dalam kegiatan kritikan sastera, penggunaan teori adalah wajib dan perlu. Berlainan dengan apresiasi, resensi, resepsi dan ulasan, kesemua ini tidak perlu diaplikasikan teori sastera. Para pelajar dapat belajar secara berperingkat dan mendalam bermula daripada definisi teori tempatan yang pelbagai, pengasas teorinya, konsep teori, prinsip teori, kriteria malah sejarahnya sendiri untuk mereka menganalisis dan menggunakan teori sastera tempatan ini. selain itu, kreativiti dan pemikiran generasi baharu yang semakin menampakkan jalurnya dengan terbit banyak lagi teori sastera tempatan.

    Seterusnya, teori sastera tempatan akan terus kuat hidup, dengan menekan sekali lagi akan peranan penulis dan pengkritik sastera yang tampil mewakili generasi baharu. Teori tempatan akan kembang subur di medan akademik tempatan, namun syaratnya haruslah ada pengkaji, pengkritik, mahasiswa malah pengarang yang giat berkarya. Selain daripada teks karya mereka sendiri yang akan dikaji oleh pengkaji dan pengkritik, lalu membibitkan dan menerbitkan teori ini, pengarang juga perlu mengaplikasikan teori yang sedia ada dalam karya mereka, lebih-lebih lagi karyawan muda. Di samping pengkritik dan pengkaji, pengarang sendiri perlu berusaha untuk mempelajari teori tempatan dalam kajian sastera, mengamati dan meningkatkan daya upaya mereka sebagai penulis. Menurut Mana Sikana, teori sastera ini juga dicipta untuk kegunaan pengarang itu sendiri. Hal ini kerana pengarang dan karyawan khususnya penulis muda pada hari ini yang bertanggungjawab dalam mendefinisikan perkembangan sastera bangsa mereka, dan pengabaian terhadap teori tempatan dalam sastera akan mengeruhkan usaha itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Isu Semasa