بسـم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Puisi merupakan salah satu cabang sastera Melayu dimana cabangnya terbahagi kepada dua iaitu prosa dan puisi. Menurut Ibaragi Noriko (dalam Suroto, 2001:40) menyatakan bahawa puisi adalah salah satu karya sastera yang berbentuk pendek, singkat dan padat yang dicurahkan daripada isi hati, fikiran dan perasaan penyair, dengan segala kemampuan bahasa yang dimiliki, bersifat kreatif serta imaginatif. Puisi juga terbahagi kepada dua iaitu puisi moden dan puisi tradisional. Puisi tradisional terbahagi kepada beberapa bahagian antaranya ialah pantun, gurindam, syair, teromba, talibun, jampi, mantera, nazam dan lain-lain. Puisi moden pula terlahir satu bahagian sahaja iaitu sajak.
Menurut Muhammad Fudhail Bin Ishak (2018), puisi tradisional merupakan karangan berangkap yang memancarkan budaya dan corak pemikiran masyarakat Melayu tradisional yang cukup berseni. Puisi moden pula merupakan puisi baharu yang bebas daripada peraturan-peraturan dalam pembentukan rangkap, baris, kata, dan rima. Salah satu puisi tradisional yang terkenal adalah gurindam. Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Raja Ali Haji dan Sutan Takdir Alisahbana (1954), menjelaskan pembentukkan gurindam yang biasanya terjadi daripada sebuah kalimat majmuk, yang dibahagi menjadi dua baris yang bersajak. Keagamaan pula merujuk kepada perihal agama dan hal-hal yang berkaitan dengan agama sama ada berbentuk niat, perbuatan, lafaz, dan sebagainya. Aspek keagamaan terdiri daripada nilai-nilai islam atau agama dan kehidupan beragama.
Raja Ali Haji merupakan seorang tokoh ilmuwan serta seorang intelektual terkemuka di seluruh Nusantara. Raja Ali Haji merupakan anak kelahiran bangsawan Bugis tinggal di Pulau Penyengat, Riau. Raja Ali Haji terkenal menerusi beberapa kitabnya seperti Tuhfat Al-Nafis, Hikayat Tajul Muluk serta puisi tradisional Gurindam Dua Belas. Gurindam Dua Belas terdiri daripada dua belas fasal yang ditulis berkenaan beberapa isu seperti isu tanggungjawab pemerintah, tanggungjawab anak, tanggungjawab ibu bapa, ibadah, hidup bermasyarakat dan beberapa isu-isu lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan