بسـم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sastera pada hari ini dilihat semakin berkembang dengan penggunaan Bahasa sebagai alat untuk menyampaikan pelbagai bidang ilmu. Rentetan itu, terdapat sebuah teori yang dikenali sebagai teori teksdealisme yang di bina oleh Mana Sikana atau nama sebenar beliau iaitu Abdul Rahman Hanapiah. Beliau merupakan sasterawan dan anak kelahiran di negeri perak. Pada awalnya gagasan teori ini diwujudkan sejak akhir 1980-an manakala penulisannya bermula kira-kira pada tahun 1993-1995. Teori teksdealisme di bina adalah untuk menyempurnakan teks sastera dari masa ke semasa. Selain itu Mana Sikana membina teori teksdealisme itu kerana beliau sedar bahawa teori barat kurang sesuai untuk digunakan di dalam sastera tempatan. Perkataan teksdealisme memberi makna keunggulan dan ideal yang dapat membawa harapan agar pengarang, teks serta khalayak dapat berkembang dengan pesat. Justeru itu, teksdealisme bukan sahaja membawa kepada makna teks yang unggul bahkan ianya disebut sebagai teori keunggulan kerana mempunyai nilai mutu yang tinggi, dan dengan itulah ianya dikenali sebagai teori teksdealisme.
Perkataan teksdealisme diperoleh daripada rangkuman dua patah perkataan iaitu teks dan idealisme. Ianya boleh membawa kepada susunan idea teks dan pengalaman yang mempunyai makna yang sesuai dan sifat yang unggul. Mana Sikana mengatakan bahawa kelembapan terhadap perkembangan sastera telah menjadi faktor terbinaanya teori teksdealisme. Setiap pengarang meninginkan sifat teks yang dapat mencapai tahap keunggulan. inilah yang dikenali sebagai idealisme dalam falsafah teksdealisme untuk menjadikan teks karya sastera itu lebih kreatif. Mana Sikana telah melakukan pembaharuan dalam penciptaan dan inovasi untuk menghasilkan sesebuah teks yang baharu dengan sistem-sistem tertentu. hal ini dilakukan sedemikian kerana teksdealisme adalah suatu kaedah yang baru dalam penulisan teks yang memfokuskan keunggulan. Teori teks ideal atau teksdealisme adalah berdasarkan empat prinsip iaitu kehadiran, perlanggaran, pengukuhan dan keperibadian atau individualisme. Empat perinsip di atas telah menjadi garis panduan metode, dan mekanisme penciptaan untuk mencapai tahap keunggulan teks. Oleh itu, proses dinamika perlu ada dalam teori teksdealisme, misalnya interaksi terhadap pengarang,khalayak dan teks untuk mencapai pemaknaan teks.
Zawiyah Yahya mengatakan bahawa Konsep kehadiran merujuk kepada pengalaman dan idea pengarang untuk dibawa masuk kedalam teks karyanya. Pengalaman dan idea tersebut mempengaruhi apa dan bagaimanana pengarang menulis dengan menentukan kandungan dan bentuk teksnya. Oleh itu, kehadiran pengalaman dan idea pengarang amat penting untuk menjadi sistem pemaknaan atau pembinaan makna yang akan pembantu pembaca untuk mentafsir teks tersebut. Menurut Mana Sikana kehadiran bukanlah satu keadaan akan tetapi merupakan suatu proses kerana bagi penulis pengalaman dan idea berkembang secara sedar mahupun tidak sedar. Secara keseluruhannya, kehadiran tersebut dilakukan secara tidak sedar kerana pengarang tidak perlu membuat penyelidikan dan hanya memanfaatkan daripada pengalamannya. Manakala bagi kehadiran yang sedar pula pengarang harus mencari maklumat untuk menyelidik bahan-bahan melalui pembacaan dan pemerhatian. Selain itu, Penulis mengetengahkan kehadirannya dalam teks ideal melalui proses pemilihan,penyatuan dan kepentingan makna. Proses pertama pengarang harus memilih daripada arkib cerita, Teknik, visi, pemikiran, peristiwa dan gaya mengikut idea yang tertentu untuk dikembangkan di dalam teksnya. Rentetan itu, kesemua elemen yang berlainan tersebut harus disatukan untuk membentuk satu keseluruhan yang dapat mengimbangi kandungan dengan bentuk. Kemudiannya pengarang dapat melahirkan makna teks yang berbeza daripada yang biasa dilakukan dalam erti kata lain sejenis tafsiran semula iaitu revisionis terhadap tema yang lama. Di samping itu, seorang penulis Menyusun kehadirannya dalam teks ideal melalui Bahasa, bentuk dan ideologi. Justeru itu, perkataan dipilih, disusun dan diulang bagi pemahaman dan penglibatan emosi yang mencerminkan identiti penulisan. Bagi bentuk kandungan dipilih melalui agama, artistik,tradisional, moden, Ajaib. fantastik atau seksual manakala bagi pilihan genre, penulisannya sama ada ia absurdisme,surealisme,realisme atau realisme Ajaib. Bagi faktor lain pula, kehadiran ditentukan oleh ideologinya seperti agama,politik atau sosiologi.
Prinsip kedua teksdealisme adalah berdasarkan konsep perlanggaran yang dapat memberi pilihan kepada penulis untuk menggunakan teks yang sedia ada dalam karyanya atau dengan cuba melahirkan sesuatu yang baru dalam penulisan. Menurut Zayiwah Yahya jika penulis memilih untuk mencuba sesuatu yang baru dan melakukannya dengan baik penulis tersebut mempunyai peluang untuk mencipta karya yang berdasarkan avant-garder iaitu idea dan kaedah baharu dalam kesusasteraan yang dapat mendahului zaman. Dalam konteks ini, ianya juga merupakan salah satu percubaan revisionis iaitu mengubah sesuatu untuk mentafsir semula tema lama daripada penulis terdahulu. Seterusnya, Julia Kristeva mencadangkan untuk menyisihkan makna teks dan semangat perintis didorong oleh keperluan untuk menyatakan perjuangan perubahan dalam masyarakat pengarang dan membawa sesuatu yang baru kepada teori dan tradisi sastera. Oleh itu, kedua-dua perkara itu, mencerminkan keprihatinan terhadap perkembangan khalayak khususnya pada masyarakat. Seorang penulis sastera avant-garde yang bijak dapat dilihat dalam konsep perlanggaran yang membawa kepada gerakkan,genre,gaya,teknik dan ketukangan yang sedia ada. Hal ini demikian berlaku kerana pengarang berpaksi pada disiplinnya tersendiri. Antara soalan-soalan yang akan ditanya oleh seorang pengkritik sastera dalam perlanggaran adalah yang pertama apakah aspek yang dikekalkan dan apa yang telah diubah manakala untuk soalan kedua bagaimana prinsip perlanggaran itu dilakukan dan soalan ketiga ialah apakah kesan dan fungsinya terhadap pembinaan teks tersebut. Rentetan itu, pengarang yang berani boleh menyentuh teks daripada penulis lain untuk memperbaharui teksnya. Menurut Mana Sikana apa sahaja yang bersifat inovatif seperti makna yang baru tidak akan hadir tanpa konsep perlanggaran.
Prinsip yang ketiga dalam teksdealisme adalah pengukuhan ianya merupakan proses pengayaan yang dilakukan oleh pengarang untuk menambah baik teks melalui penyelidikan, penyemakan, pembetulan dan penulisan semula. Baqi aspek penyelidikan ianya melibatkan perbandingan dengan teks yang lain dan pencarian kaedah dan unsur baru yang tidak pernah diketahui. Justeru, dengan perbandingan ini pengarang dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan teks mereka serta dapat membaikinya. Selain itu, Zawiyah Yahya mengatakan bahawa perubahan akan berlaku dengan menyisihkan teks yang lama dan membina semula teks yang sempurna. Kemudian pengarang dapat memberi pengertian baru untuk mencapai teks ideal dengan mewujudkan kelainan daripada teks yang asal. Pada peringkat awal penglibatan dalam penulisan, pengarang harus menerapkan konsep pengukuhan ini setiap kali menulis. Proses ini memerlukan sifat yang terbuka misalnya bagi seorang pengarang baru yang ingin memperbaiki kedudukannya. Dalam konteks ini, pengarang baru harus menerima teguran, kritikan dan saranan daripada penulis yang lama yakni yang lebih berpengalaman. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa penulis baru harus mengikut jejak langkah pengarang terdahulu akan tetapi iainya merupakan kaedah pembelajaran yang amat bernilai. Mana Sikana mengatakan bahawa pengarang yang terlibat biasanya terdiri daripada orang-orang yang pernah menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah karya. Setelah beberapa lama mereka dapati bahawa karya yang ditulisnya kurang mantap dan menarik. Oleh itu, prinsip pengukuhan ini adalah merupakan usaha daripada pengarang untuk mengejap, mematang dan menyempurnakan karyanya.
Prinsip terakhir teks ideal adalah berdasarkan idea individualisme yang berkait rapat dengan ketulenan dan keaslian. Selain itu menurut Zawiyah Yahya prinsip ini merupakan analisis teori teksdealisme yang terakhir serta kemuncak dalam perbincangan bagi seorang pengarang terhadap sesebuah teks. Proses individualisasi dapat dikesan dalam pandangan pengarang, gaya, reka bentuk, tindakan dan diri individu tersebut. Justeru itu, pandangan pengarang dibina melalui cara dia mengolah ideanya untuk menjadi subjek atau tema pilihannya. Kemudian subjek tersebut haruslah dikenal pasti misalnya pengarang berminat dengan isu kuasa, jantina atau perjalanan jiwa. Hal ini demikian, gaya individu melihat kepada penggunaan Bahasa pengarang dengan cara yang unik dan asli. Penguasaan linguistik kreatif dapat dipelajari oleh penulis daripada pakar perdagangan yang hebat serta berani untuk mencipta gaya baharunya sendiri. Rentetan itu, keperibadian dalam reka bentuk terletak pada penggunaan teknik, kaedah yang kreatif dan makanisme tektualiti. Seterusnya, diri individu mentakrifkan watak pengarang dan perspektifnya terhadap isi-isu terutamanya yang jelas dalam penulisan autobiografi. Bagi Tindakan pula merujuk kepada apa yang penulis putuskan dan laksanakan dalam teks sama ada untuk melihat semula versi lama, iaitu mentafsir semula makna lama, mengekalkan keadaan yang sedia ada atau meninggalkan tradisi lama. Menurut Mana Sikana prinsip keperibadian dalam falsafah teori teksdealisme menegaskan bahawa setiap pengarang hendaklah berusaha untuk membina sifat keperibadian masing-masing. Oleh itu, teori tekdealisme juga dapat memberi penekanan pada ideologi dalam menentukan keperibadian pengarang.
Dengan ini dapat di simpulkan bahawa keempat-empat prinsip tersebut dapat menjadi tonggak utama dalam teori tekdealisme ini. Justeru itu, terbuktilah setelah memahami kesemua fungsi prinsip tersebut dengan melihat pencapaian penulis dalam menghasilkan karya yang baik dan mempunyai teks yang unggul. Selain itu, melalui penerapan empat prinsip ini juga dapat melihat sejauh mana keunggulan khalayak dapat diukur dengan memerhatikan kekuatan khalayak dalam memaknakan sesebuah teks yang telah dibacanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan