Ahad, 15 Oktober 2023

Karya Pak Sako

 

KRITIKAN NOVEL PAK SAKO

Novel Anak Mat Lela Gila oleh Pak Sako memperlihatkan pemikiran besar pengarang itu mengenai perjuangan bangsa yang tidak terhenti hanya dengan mengecapi kemerdekaan. Manakala Novel Putera Gunung Tahan pula merupakan gagasan pascakolonial yang memperlihatkan Pak Sako menhkritik habis penjajah pada zaman itu. Selain itu terdapat kritikan dalam Novel Budak Beca yang ditulis oleh Pak Sako dan ianya mengisahkan tentang Mamat Merdeka yang pulang ke kampung halamannya di negeri Terengganu setelah tujuh tahun menjadi mata-mata khas. Novel tulisan Pak Sako ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1957 yang merupakan tahun Tanah Melayu menerima kemerdekaan. Ketika itu, sastera merupakan alat penting dalam menyampaikan mesej kemerdekaan kepada penduduk Tanah Melayu. Latar belakang Pak Sako sebagai seorang nasionalis sangat mempengaruhi beliau. Mesej dan kritikannya kepada orang Melayu jelas melawan penjajahan oleh British dan juga penjajahan akal fikiran. Sesetengah kritikan beliau ini masih lagi relevan untuk dibincangkan sehingga ke hari ini. Jika Novel Putera Gunung Tahan tulisan Pak Sako sebelum itu bertujuan untuk meniupkan semangat kemerdekaan kepada rakyat, memberi sindiran dan tentangan kepada British, Budak Beca pula memberikan kritikan kepada kaum yang hendak menerima kemerdekaan. Kritikan paling jelas dalam novel ini ialah terhadap sikap-sikap orang Melayu yang langsung tidak serius memajukan hidup mereka. Ini dapat dilihat melalui sikap Mamat yang hanya tahu berseronok dan tidak mahu melakukan kerja berfaedah setelah pulang ke kampung. Dia malah tidak mahu merancang masa depannya sendiri. Sungguh besar peranan tulisan Pak Sako ini kerana ia menyentuh aspek pembinaan sikap sesuatu bangsa. Bukankah kemerdekaan sesebuah negara itu harus seiring dengan kemerdekaan pemikiran bangsanya. Dia tidak mahu Kaum Melayu ketinggalan dengan berseronok sahaja tanpa memikirkan masa depan. Watak Mustapha wujud dalam cerita ini untuk membimbing Mamat. Nasihat-nasihat daripada Mustapha inilah yang ditujukan kepada Kaum Melayu untuk mengubah hidup mereka. Saat Mamat sudah sembuh dan mula mahu kembali ke perangai lamanya yang suka berseronok dengan perempuan, dia terus menegur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Isu Semasa